Sep 3, 2010

Saya, Masuk Islam Bukan Sebab Perkahwinan

 
 
AIR KUNING – “Sebelum memeluk agama Islam, saya sudah teruja dengan ajaran agama ini yang bersifat sepanjang zaman,” kata Norafiqah Abdullah, 32.

Norafiqah yang sudah memeluk Islam sejak 17 tahun lalu adalah salah seorang saudara baru yang menetap di Perkampungan Orang Asli Sungai Kroh Dalam bersama suami dan empat anak mereka.


Norafiqah berkata, sebelum memeluk agama Islam, dia sudah berkawan dan bergaul mesra bersama penduduk Melayu yang menjadi rakan sekolah dan jirannya.

Menurutnya, sejak itu dia mula meminati agama Islam dan memeluknya sejak berusia 15 tahun tanpa sebarang halangan daripada keluarga.

“Selepas dua tahun memeluk agama Islam, saya berkahwin dan mendapat bimbingan agama daripada suami dan jiran terdekat.

“Pernah ada yang tersalah sangka mengatakan saya memeluk Islam sebab ingin berkahwin, namun saya sudah memeluk agama Islam dua tahun sebelum mendirikan rumah tangga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan kepada Keluarga Miskin di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Kuning di Tanjung Keramat, di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Pengerusi Badan Amal Isteri-isteri Wakil Rakyat (Baiduri) DUN Air Kuning, Datin Rohimah Mohamed Khaironi.

Norafiqah berkata, pada tahun pertama berpuasa, dia berusaha untuk berpuasa penuh dan pengorbanannya ternyata berbaloi.

Katanya, pada mulanya terasa sedikit kesukaran, namun dengan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, dia berjaya menempuhinya.

“Pada tahun pertama berpuasa, saya sudah berjaya menghabiskan sebulan puasa dengan sokongan semua pihak.

“Kini saya ingin menerapkan nilai agama ini kepada anak-anak yang sedang membesar supaya mereka patuh pada ajaran agama,” katanya. 
 
~Sinar Harian~ 

Categories:

0 comments:

Post a Comment