BANDAR GAZA - Ketua pemimpin pejuang Hamas di Genting Gaza tidak bersedia untuk bertolak-ansur dengan rejim Israel yang melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin, khususnya sejak 2007. Kenyataan itu dibuat Mahmoud Zahar dalam ucapan di Bandar Gaza, kelmarin, iaitu sehari selepas empat rakyat Israel ditembak mati di dalam sebuah kereta berhampiran penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Hamas mengaku melakukan serangan itu dalam mesej yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada wakil media, semalam.
Presiden Barack Obama mengecam hebat serangan itu tetapi masih optimis bahawa rundingan damai antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan berjalan seperti dijadualkan di Washington, bermula semalam.
"Insiden yang berlaku di Tebing Barat pada Selasa tidak harus menghalang rundingan damai yang sedang berlangsung," kata Obama sewaktu menerima kedatangan Netanyahu di Rumah Putih, kelmarin.
Abbas menghadapi masalah untuk mengawal operasi Hamas sejak kumpulan pejuang itu menguasai sepenuhnya Gaza pada 2007 sementara Pihak Berkuasa Palestin (PA) pimpinan Abbas lebih berkuasa di Tebing Barat.
~Sinar Harian~
Categories:
Politik

.gif)
0 comments:
Post a Comment