Oleh: Ahmad Henry
Banyak pihak mendakwa orang melayu tidak pandai berpolitik. “Bila Melayu berpolitik, mesti berpecah”. Bagi media arus perdana, kesalahan akan diletakkan di bahu parti politik pembangkang Melayu. Media sejak dahulu cuba membina gambaran bahawa parti Melayu ialah UMNO. Orang melayu tidak perlu parti lain selain UMNO. Parti Melayu selain UMNO ialah “pengkhianat bangsa”. Ini ialah imej yang dibina oleh orang Melayu dan media arus perdana sejak lama dulu.
Aliran yang bersetuju dengan pandangan di atas melihat bahawa Pas merupakan gerangan perpecahan bangsa Melayu ini. Pas menjadikan orang Melayu terpecah kepada dua kelompok iaitu penyokong UMNO, dan penyokong Pas. Pas juga dianggap sebagai parti Melayu yang mempergunakan Islam demi kekuasaan selain sering menolak perpaduan dengan UMNO. Pandangan ini dikuatkan lagi dengan penggabungan Pas di dalam Pakatan Rakyat yang di dalamnya terkandung DAP. Malah, Pas mewujudkan dewan himpunan penyokong Pas yang terdiri daripada orang bukan Islam. Soalannya, benarkah Pas merupakan parti gila kuasa dan menjadi punca perpecahan Melayu?
Pas Bukan Parti Badut
Pas merupakan parti yang lahir daripada gerakan Islam Hizbul Muslimin pada 1948. Diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Hizbul Muslimin mengerakkan perjuangan kemerdekaan dengan bermatlamatkan penubuhan negara Islam. Ini menimbulkan keresahan kepada British kerana mereka tidak mahu Malaya menjadi sebuah negara Islam. Lalu Hizbul Muslimin ditekan pada segenap penjuru. Hasilnya, Hizbul Muslimin diharamkan dan akhirnya terbubar beberapa bulan selepas itu.
Bekas ahli Hizbul Muslimin kemudiannya menyertai UMNO. Matlamat dan perjuangan mereka tetap sama iaitu menuntut kemerdekaan dan menubuhkan negara Islam. Menurut Profesor Badlihisham dalam bukunya, Dinamisme Gerakan Islam Cabaran dan Semasa, usaha yang dilakukan oleh mereka ini sebagai ‘melaksanakan pengislaman dari dalam sistem’. Ini bererti, mereka perlu mengubah dasar perjuangan UMNO yang bermatlamatkan Ketuanan Melayu supaya beralih kepada perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia.
Usaha itu ternyata gagal. UMNO tetap dengan dasar Ketuanan Melayunya. Tidak ada tanda-tanda UMNO akan membina negara Islam jika kemerdekaan dicapai. Sebaliknya, UMNO menjalankan dasar toleransi dalam banyak perkara dengan British demi mendapatkan kemerdekaan. Dasar toleransi ini kemudiaanya diterjemahkan dengan frasa “merdeka tanpa pertumpahan darah”, sebagai menunjukkan bahawa UMNO bijak memperjuangkan kemerdekaan tanpa perlu pertumpahan darah. Dari frasa itu jugalah lahirnya Perlembagaan Persekutuan yang ada pada hari ini.
British sangat menyenangi UMNO dengan dasarnya itu. Tidak seperti gerakan kemerdekaan lain seperti PKMM, API, AWAS, PUTERA, dan lain-lain yang mahukan kemerdekaan dengan membebaskan sendiri tanah air tanpa perlu terikat dengan negara penjajah lagi. Namun, usaha ini memerlukan pengorbanan nyawa. Hari ini meskipun kita merdeka, tetapi kita masih terikat di bawah komanwel.
Oleh kerana ruang untuk menegakkan Islam di dalam UMNO semakin sempit, golongan agama yang dahulunya melihat boleh hidup bersama UMNO akhirnya akur dengan hakikat bahawa mereka perlu keluar dari parti itu. Pada 14 Novermber 1951, lahirlah Parti Islam Se-Malaya (Pas) hasil daripada Muktamar Ulama ketiga anjuran UMNO di Butterworth, Pulau Pinang. Haji Ahmad Fuad Bin Hasan dipilih menjadi Yang Dipertua Pas yang pertama. Beliau merupakan antara ahli UMNO yang keluar dari parti itu dan menyertai Pas selain Haji Ahmad Maliki.
Pas ditubuhkan pada awalnya untuk memperjuangkan kemerdekaan Negeri Melayu. Tetapi pada 1955, Pas membuat keputusan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik dan menyertai politik arus perdana sebagai wadah untuk menegakkan Islam di Malaysia.
Bersatu Bukan untuk Menjadi Kufur
Pas menyedari bahawa Islam mengajarkan umatnya bersatu padu demi menegakkan syiar Islam. Sebaliknya bukan bersatu padu menjadi golongan yang ingkar. Setelah lebih 60 tahun memperjuangkan nasib orang Melayu, tidak ramai orang Melayu yang menjadi mulia kerana Islam. Islam orang Melayu di bawah UMNO hanya ada pada institusi seperti tabung haji, UIAM, bank Islam, dan bangunan-bangunan lain yang ‘diislamkan’. Dari segi akhlak dan nilai diri, kita boleh nilaikan sendiri apa jadi pada orang Melayu khususnya para remaja pada hari ini.
Pas sentiasa menyatakan kesediaan bersatu dengan UMNO asalkan UMNO sedia menukar perundangan negara kepada perundangan Syariah seperti yang sudah dilaksanakan oleh Kerajaan Acheh. Malangnya, UMNO menolak dengan alasan masyarakat Malaysia ialah berbilang kaum. Penolakan UMNO terhadap undang-undang Islam menyebabkan Pas menolak kerjasama dengan UMNO.
Pas beralih kepada langkah berisiko iaitu bergabung dengan sebuah parti bukan Melayu (DAP) dan sebuah parti yang kebanyakannya bekas ahli UMNO (PKR). Pas tidak ada masalah dengan parti reformis PKR sebaliknya berhadapan cabaran besar menghadapi DAP. Namun, segalanya Pas lakukan dengan harapan bahawa orang bukan Islam akan faham Islam sekiranya penjelasan diberikan kepada mereka. Pokok pangkalnya ialah dakwah dan memberi penjelasan. Pas cuba menjadi parti dominan dalam Pakatan meskipun ia cabaran yang agak berisiko.
Justeru, kesediaan Pas masuk Pakatan cuma berlegar kepada persoalan kemampuan Pas menjadi dominan. Bukan persoalan menjual Islam demi kekuasaan seperti yang didakwa oleh UMNO dan medianya. Sepatutnya orang Melayu khususnya media membantu Pas memberikan kefahaman kepada rakan bukan Melayunya dalam Pakatan supaya mereka bersedia menerima undang-undang Islam. Malangnya, media sekadar menakut-nakutkan orang Melayu kononnya Islam dan Melayu sudah terancam ekorang tindakan Pas itu. Inilah kerja Melayu UMNO dan medianya setiap hari.
Kata Dulang Paku Serpih
Pada masa UMNO dan media mereka memainkan sentimen bahawa Pas lebih rela bersatu dengan orang kafir berbanding Melayu dalam UMNO, parti UMNO sejak puluhan tahun dulu telah terlebih dahulu bersatu dengan MCA semata-mata untuk mengurangkan persaingan dengan parti milik Tun Hisein Onn ketika itu. Kemudiannya diikuti oleh penggabungan dengan MIC beberapa tahun kemudiannya. Ini tidak dipersoalkan oleh orang Melayu dalam UMNO dan media arus perdana.
Media cuma berminat untuk menuduh Pas sebagai parti yang menjual Islam untuk politik, menjadi juak dan barua DAP, dan sebagainya.
Amat malang kerana mereka yang mempunyai pemikiran sealiran itu termasuk dari kalangan golongan terpelajar yang terperangkap oleh media percuma di perpustakaan, blog, laman web, dan bahan-bahan bias melulu ke arah parti pemerintah. Mereka lupa membuka buku-buku tebal tulisan SH ALATAS, Prof Aziz Bari, SH Ali, Adnan Bin Nawang, Prof. Badlihisham, dan ratusan penulis yang menulis dengan ilmu.
Ahmad Henry (9:14 a.m)
Ahmad Henry (9:14 a.m)
Categories:
Politik


.gif)
0 comments:
Post a Comment